Tuesday, June 7, 2011

Aplikasi Facebook

Facebook membolehkan penggunanya untuk berhubung dengan pihak-pihak tertentu. Ia menjadi faktor penting dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran. Pelajar atau guru tidak perlu untuk berjumpa secara bersemuka dalam menguruskan hal-hal seperti mendapatkan nasihat dan bertanyakan tempat serta waktu kelas ganti akan diadakan. Hal ini memberi banyak manfaat terutamanya kepada pihak guru atau pensyarah. Ia disebabkan golongan ini sering mempunyai masa yang terhad untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar mereka.

Kekangan masa yang dimiliki oleh guru mungkin boleh menyebabkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran menjadi rendah. Mana tidaknya, kekurangan masa guru menyebabkan para pelajar sukar untuk berjumpa dengan guru dalam mendapatkan khidmat nasihat daripada guru. Hal ini secara tidak langsung mampu menjadi salah satu faktor kepada kejatuhan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. Jadi, facebook boleh bertindak sebagai medium interaksi sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak kementerian.

Kegunaan facebook juga ialah untuk memperoleh bantuan teknikal dan khidmat nasihat pakar. Facebook merupakan jaringan sosial yang menghubungkan seseorang dengan orang yang lain diseluruh pelusuk dunia. Secara tidak langsung, seseorang itu boleh mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada orang lain. Hal ini seperti berkongsi ilmu dengan orang lain melalui facebook. Setiap orang mempunyai pengetahuan tertentu yang mana mungkin tidak diketahui atau difahami oleh orang lain.

Perkongsian sesuatu ilmu dapat memperkembangkan lagi kemajuan ilmu dan pelajaran kepada diri seseorang. Contohnya, kita tidak faham cara penggunaan perisian Xampp untuk membuat sistem database. Jika kita tidak memahami perisian Xampp maka database yang akan dibentuk adalah kurang berfungsi. Jadi, kita boleh bertanyakan kepada orang lain yang mana lebih arif mengenai perisian Xampp untuk membantu kita. Hal ini memudahkan kita untuk mempelajari atau memahami dengan lebih mendalam tentang sesuatu perkara atau ilmu. Cara ini juga boleh membantu kita didalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Aplikasi facebook juga ialah untuk berkongsi dan bertukar pendapat atau sesuatu ilmu sesama penggunanya. Ia lebih kepada kaedah dialog yang mana setiap pengguna akan memberikan pendapat mereka kepada orang lain. Ia boleh dilakukan melalui penghantaran komen kita didalam facebook. Pendapat ini mungkin betul, mungkin salah. Bertukar pendapat antara satu sama lain adalah sama seperti debat. Setiap pihak akan cuba untuk mempertahankan isi atau pendapat mereka. Ia berlaku dengan pemberian hujah yang lengkap oleh setiap pihak untuk menyokong pendapat mereka.

Jadi, proses pertukaran pendapat melalui facebook akan menyebabkan proses perkongsian sesuatu ilmu atau perkara berlaku. Hal inilah yang membolehkan seseorang itu lebih memahami tentang sesuatu perkara. Secara tidak langsung, ia membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Setiap agensi atau institusi pendidikan kebiasaannya mempunyai halaman tersendiri di facebook. Hal ini disebabkan kebanyakan manusia mempunyai akaun facebook persendirian. Jadi, ia memudahkan agensi atau institusi pendidikan untuk berinteraksi dengan pengguna-pengguna program mereka. Pengguna boleh berkomunikasi dengan agensi pusat, swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang di gunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Hal ini boleh dilakukan dengan menghantar pertanyaan atau soalan kita di halaman agensi pusat tersebut melalui facebook.

Facebook akan mempamerkan soalan kita di halaman agensi pusat terbabit. Pihak agensi pusat tersebut akan membalas pertanyaan kita melalui facebook atau email. Cara ini lebih mudah jika dibandingkan dengan seseorang itu terpaksa membuat temu janji untuk berjumpa dengan agensi pusat yang terbabit. Selain itu, jika seseorang yang tinggal dikawasan pedalaman mungkin sukar untuk pergi ke agensi pusat terbabit yang semestinya terletak dikawasan bandar. Menghantar surat pula akan mengambil masa yang lama untuk pihak berkenaan membalas semula persoalan kita. Jadi, facebook dapat menjimatkan masa kita dan memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku.

Facebook dilengkapi dengan khidmat pesanan ringkas yang boleh digunakan untuk menghantar atau menerima maklumat. Ia sangat penting didalam proses pembelajaran dan pengajaran. Kita boleh menghantar maklumat seperti video dan dokumen-dokumen tertentu melalui facebook. Ia berfungsi untuk memudahkan kita berkongsi fail kita dengan orang lain. Perkhidmatan ini memudahkan orang lain untuk melihat dan mendapatkan fail kita. Ia sangat berguna terutamanya kepada pensyarah yang ingin menghantar nota-nota kuliah kepada pelajarnya. Ia lebih mudah dan kosnya adalah rendah. Jika nota terpaksa di cetak keluar dan diberi kepada pelajar, ia mungkin menggunakan kos yang tinggi. Lebih-lebih lagi jika pensyarah tersebut mempunyai jumlah pelajar yang ramai. Jadi, khidmat pesanan ringkas sangat membantu didalam prosese pembelajaran dan pengajaran.

Facebook membolehkan seseorang melakukan proses kemaskini sesuatu maklumat didalam akaun mereka. Proses kemaskini berfungsi untuk memastikan maklumat adalah tepat dan sesuai dengan sesuatu masa. Hal ini membolehkan pengguna facebook lain mendapat maklumat yang tepat setelah memperoleh maklumat tersebut. Maklumat yang tepat membolehkan pengguna bertindak betul mengikut maklumat yang diperoleh. Maklumat yang dikemaskini juga mampu memudahkan pengguna untuk melakukan urusan-urusan lain.

Maklumat yang boleh dikemaskini memberi faedah kepada proses pembelajaran dan pengajaran. Contohnya, pensyarah boleh menyampaikan maklumat terbaru mengenai pertukaran tarikh dan tempat perkuliahan melalui facebook. Selain itu, nota baru yang ingin ditambah oleh seseorang pensyarah mampu dilakukan didalam facebook. Apabila seseorang pensyarah tersebut mengemaskini maklumat yang ingin dihantar kepada pelajarnya, secara automatik maklumat baru tersebut akan muncul didalam akaun facebook setiap pelajarnya. Maklumat tersebut akan muncul di news feed. Jadi, maklumat mampu dikemaskini didalam facebook dan sangat membantu didalam proses pembelajaran dan pengajaran.


No comments:

Post a Comment