Tuesday, June 7, 2011

Kesimpulan

Kesimpulannya, jaringan sosial Facebook boleh bertindak sebagai medium kepada proses pembelajaran dan pengajaran. Hal ini disebabkan Facebook mempunyai beberapa elemen yang berfungsi seakan-akan perisian atas talian, SPIN. Pensyarah dan pelajar memperoleh banyak manfaat dan faedah daripada Facebook. Selain itu, ia juga merupakan suatu perisian atas talian yang terkini. Secara tidak langsung, ia dapat meningkatkan daya saing kita dengan proses pembelajaran dan pengajaran bagi negara-negara maju seperti Amerika syarikat dan Eropah.

Namun begitu, Facebook tidak dapat lari daripada beberapa kelemahan. Kelancaran Facebook sangat bergantung kepada kelajuan capaian internet bagi sesuatu tempat. Masalah ini sangat dipengaruhi oleh teknologi yang ada bagi sesuatu negara. Contohnya Vietnam, kelajuan capaian internet bagi negara ini adalah rendah. Pengguna terpaksa bersabar untuk menggunakan Facebook. Mana tidaknya, jangka masa untuk mengreload sesuatu halaman web di negara ini adalah lama. Jadi, kelajuan capaian internet sangat mempengaruhi kelancaran menggunakan Facebook.

Seterusnya, beberapa penambahbaikan juga perlu dilakukan kepada Facebook. Hal ini untuk menyesuaikan penggunaan Facebook dengan kehendak pengguna. Kehendak pengguna bersifat dinamik atau selalu berubah mengikut masa, keadaan dan tempat. Facebook dapat dilihat lebih bersifat sosial. Beberapa perubahan perlu dilakukan untuk menyesuaikan ia dengan proses pembelajaran dan pengajaran.

Jadi, Facebook mampu meningkatkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. Tambahan pula, Facebook sudah menjadi kebiasaan kepada masyarakat pada hari ini.

Antara muka Facebook (Interface)

Gambar Profil (Profile Picture)

Sebaik-baiknya meletakkan gambar yang dapat memberikan gambaran kepada pengguna Facebook lain berkenaan identiti kita. Ini membolehkan untuk mereka mengenali kita dan menerima pelawaan atau jemputan untuk menambah kenalan. Idea asal Facebook adalah berasaskan jaringan sosial, oleh itu ia tidak menggalakkan penggunaan identiti jenama, syarikat ataupun mana-mana organisasi selaras dengan semangat ianya diwujudkan. Oleh itu penggunaan gambar peribadi adalah digalakkan.

Tetapan Privasi ( Privacy Settings)

Di sini pengguna perlu menentukan sejauh mana maklumat yang diletakkan di dalam Facebook yang telah dibina ingin dikongsi dengan orang lain. Terutama berkaitan dengan foto atau album foto dan juga senarai kenalan. Modifikasi boleh dibuat melalui pilihan My Settings. Sekiranya kita telah menghalang seorang pengguna Facebook yang lain, pengguna tersebut tidak akan dapat melihat Facebook kita.

Maklumat Profil ( Profile Information)

Tentukan maklumat yang ingin dikongsi atau diketahui oleh orang lain. Jaringan sosial boleh ditukar dua kali setiap 60 hari sahaja. Facebook sekali lagi menggalakkan penggunaan profil yang benar/jujur, sekiranya tidak akan terdedah kepada risiko pengnyahaktifan (deactivation) dari Facebook. Bahkan penukaran nama juga akan mengambil masa. Lihat pilihan yang ada dan tentukan apa yang boleh dan wajar dikongsi dengan para pengguna yang lain.

Dinding Pengguna (Wall)

Dinding ini adalah kegunaan para pengguna Facebook lain menulis nota kepada kita, atau menghantar video yang telah dirakamkan atau berkongsi pautan internet. Kebanyakkan pengguna salah faham berkenaan pilihan ini. Pengguna seharusnya menghantar nota di dinding pengguna lain. Sekiranya menerima nota/mesej di dinding kita, digalakkan memberi respon dengan kadar segera. Elakkan juga aktiviti nota berantai seperti surat berantai atau spam email.

Mencari Kenalan ( Finding Friends)

Pencarian kenalan adalah melalui tiga cara yang telah diterangkan sebelum ini. Kenalan-kenalan di laman Facebook boleh dikategorikan secara senarai. Sebagai contoh alumni universiti, rakan sekerja, rakan sekursus dan lain-lain lagi. Penggunaan senarai kenalan ini juga kadangkala membantu pengguna lain untuk berkenalan atau menambah kenalan.

Album Foto Dan Video

Kesemua foto yang telah dimuatnaik boleh dikumpulkan dengan menggunakan nama album yang berbeza. Letakkan juga tag yang bersesuaian seperti adakah ia acara kekeluargaan, kenalan semasa belajar, kenduri kahwin rakan sekerja dan sebagainya. Pastikan foto bersesuaian sahaja yang diletakkan di laman Facebook dan elakkan meletakkan foto tersebut sebagai tontonan awam sekiranya kita cuma berhasrat foto tersebut hanya untuk tontonan peribadi.

Kumpulan (Groups)

Jelajah Facebook dan cari kumpulan yang bersesuaian dengan hasrat Facebook kita. Tiada had bilangan kumpulan yang boleh disertai. Sekiranya ingin membuat kumpulan yang baru, pastikan idea penubuhan tersebut tidak pernah dibuat oleh orang lain. Hasilkan kumpulan yang asli dan sebarkan secara baik dan berhemah.

Acara (Events)

Di sini pengguna boleh meletakkan acara yang akan disertai atau dianjurkan dan ingin dihebahkan kepada kenalan mahupun kepada para pengguna Facebook yang lain. Kita boleh menjemput kenalan menghadiri acara yang dianjurkan atau memohon untuk menyertai acara yang dianjurkan oleh kenalan kita.

Status

Status menyatakan berkaitan kekerapan pengemaskinian laman Facebook kita.

Mudah Alih (Mobile)

Bagi sesetengah pembekal servis talian mudah alih, kemudahan akses ke Facebook turut disediakan. Kita boleh mengemaskini status dan juga menghantar nota ke Facebook.

Cadangan penambahbaikan

Facebook telah mempunyai pelbagai kebaikan yang tersendiri. Di samping itu terdapat pelbagai lagi penambahbaikan yang dapat di buat ke atas facebook bagi menarik minat lagi para pengguna di samping meningkatkan mutu facebook itu sendiri. Facebook adalah antara laman web yang berkembang dengan agak pantas sekali. Kini, pengguna Facebook Malaysia hampir mencecah hampir 7 juta pengguna, apabila angka semasa pengguna Malaysia sehingga kini adalah seramai 6,795,860 orang pengguna. Menariknya, melalui statistik yang disediakan oleh Facebakers, yang mana dikemaskini setiap hari, ianya didapati seramai 3,472,200 orang ataupun, lebih 52% orang adalah pengguna lelaki, dan bakinya, 48% adalah pengguna perempuan. Jadi dengan melakukan penambahbaikan ini di harap dapat meningkatkan lagi bilangan pengguna Facebook di Malaysia.

Cadangan yang pertama ialah syarikat Facebook itu sendiri menambah aplikasi baru dalam membantu pelajar dan pengajar dalam pengajian mereka. Misal kata pihak atasan mewujudkan suatu aplikasi seperti video conference, ia dapat membantu para pengguna untuk mengadakan perbincangan bersama ketika melayari Facebook. Semua perbincangan dapat dijalankan dengan hanya melayari Facebook. Jadi ini akan dapat menjimatkan masa para pengguna daripada untuk mengadakan perbincangan secara realiti. Video conference ini dapat dijalankan dengan membuat kumpulan untuk video conference. Jadi sesuatu kumpulan itu boleh berbincang sesama mereka. Pihak Facebook juga boleh menghadkan bilangan ahli kumpulan bagi setiap kumpulan dalam video conference. Dengan adanya video conference ini setiap ahli kumpulan dapat berhubung dengan mudah di samping menjimatkan tanpa perlu bersua muka.

Setiap kumpulan perlu mempunyai ketua yang akan dilantik sebagai admin dalam kumpulan tersebut. Kawalan keselamatan juga penting ketika menjalankan video conference bagi mengelakkan maklumat dan butiran peribadi di curi. Jadi pihak Facebook akan membuat sistem keselamatan yang tinggi dalam aplikasi video conference tersebut. Dengan wujudnya video conference ini para pelajar dan pengajar atau ahli kumpulan tidak perlu lagi membuang masa untuk mengadakan perbincangan di luar. Kemungkinan juga dengan wujudnya sistem ini para pengguna akan dapat mematuhi masa perbincangan bersama kumpulan.

Cadangan untuk penambahbaikan yang kedua ialah dengan mengadakan suatu ruangan untuk berkongsi maklumat, data, video, gambar dan pelbagai lagi. Dengan adanya sistem ini pengguna dapat memuat turun sesuatu yang diingini atau berkongsi sesuatu di halaman Facebook ini. Sistem ini haruslah di jalankan mengikut kumpulan yang di wujudkan seperti contoh sistem video conference. Jadi ahli kumpulan dapat mengumpul dan berkongsi maklumat antara satu sama lain dengan mudah. Ianya berfungsi seperti suatu server yang menyediakan perkhidmatan memuat turun atau berkongsi sesuatu tetapi sistem ini lebih sistematik dengan wujudnya kumpulan bagi membolehkan sesuatu kumpulan menjalankan kerja mereka dengan mudah.

Di samping itu bagi seorang guru pula mereka boleh memasukan nota nota supaya pelajar mereka boleh memuat turun untuk mengulangkaji pelajaran. Dengan adanya sistem ini proses pembelajaran dan pengajaran dapat berjalan dengan lancar. Para pengajar dan pelajar tidak lagi perlu membuang masa untuk bertemu bagi mengambil atau memberi nota-nota untuk tujuan pengajian.

Syarikat Facebook juga perlu untuk meningkatkan keselamatan untuk mengelakkan penggodaman ke atas pengguna Facebook. Ciri-ciri keselamatan perlu di tingkatkan agar tiada pencerobohan atau penggodaman ke atas pengguna facebook. Ini penting bagi para pelajar dan pengajar supaya mereka tidak lagi risau akan keselamatan butiran peribadi mereka tidak di cerobohi atau di curi. Sistem keselamatan yang canggih amat penting bagi memberi keyakinan terhadap pengguna Facebook itu sendiri.

Syarikat Facebook juga harus mengelakkan clickjaking yang menggangu keselesaan pengguna Facebook. Suatu sistem harus di buat untuk mengelakkan aktiviti clickjaking ini dari terus berleluasa dan mengganggu keselesaan pengguna ketika melayari Facebook. Clickjaking ini di jalankan oleh individu tertentu untuk mendapatkan keuntungan daripada iklan mereka dengan cara yang mudah. Facebook juga mula memperkenalkan Dua Faktor Authentication, ciri-ciri baru untuk membantu mencegah akses tidak sah ke akaun pengguna Facebook. Jika anda mengaktifkan ciri baru ini, Facebook akan meminta anda untuk memasukkan kod bila-bila masa anda cuba untuk login ke Facebook dari sebuah peranti baru. Hal ini merupakan tambahan keselamatan untuk membantu memastikan bahawa anda benar-benar cuba untuk login.

Pihak Facebook juga harus mengetatkan keselamatan agar maklumat individu pengguna Facebook tidak di cerobohi. Ini penting bagi memberi tanggapan yang positif bagi pengguna tersebut.

Selain itu, penambahbaikan terhadap reka bentuk antara muka Facebook juga memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan mutu dan menarik minat pengguna Facebook. Dengan mereka corak dan memperbaharui muka depan Facebook dapat menarik minat pengguna. Selain itu, kandungan dalam laman Facebook juga haruslah tersusun rapi bagi tidak menyusahkan para pengguna. Keadaan kandungan dalam Facebook yang sedia ada sekarang agak serabut dan tidak tersusun dengan rapi. Setiap fungsi yang ada dalam Facebook di susun mengikut keutamaan yang diperlukan para pengguna.

Keadaan warna laman Facebook juga memainkan peranan yang penting bagi menarik minat para pengguna. Warna haruslah di pilih mengikut kesesuaian para pengguna meliputi setiap peringkat umur. Para pengguna juga harus diberi peluang untuk menukar corak pada halaman profil masing-masing. Ini bagi memuaskan hati setiap pengguna di samping mengikut kehendak mereka. Pihak Facebook boleh mewujudkan satu web di mana para pengguna boleh memilih tema yang mereka minati untuk di jadikan sebagai corak di halaman profil mereka. Jadi bagi setiap lapisan umur pengguna mereka boleh memilih mengikut kesesuaian dan cita rasa mereka. Bagi para pelajar dan pengajar pula mereka boleh menghiasi laman profil mereka dengan formula-formula dalam silibus pelajaran bagi memudahkan mereka untuk menghafal formula tersebut.

Keburukan Facebook

Penggunaan facebook digunakan secara meluas di seluruh negara tidak mengira umur dan bangsa. Sekarang, facebook dianggap sangat penting oleh sesetengah pihak kerana penggunaannya adalah untuk menghubungkan kenalan lama, perkongsian ilmu, penyampaian maklumat secara cepat dan umum. Tetapi penggunaan facebook ini juga membawa banyak keburukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Antara muka yang dipaparkan di facebook adalah dalam bentuk sosial dan tidak formal. Tujuannya adalah untuk penggunaan secara sosial. Antara muka yang dipaparkan oleh facebook adalah kurang menarik untuk tujuan pengajaran dan pembelajaran kerana kegunaannya adalah terbatas. Seperti contoh kegunaan facebook untuk membincangkan tentang subjek matematik. Ianya hanya boleh ditulis akan tetapi ianya tidak dapat memaparkan contoh pengiraan yang menggunakan simbol-simbol matematik yang tidak terdapat pada papan kekunci pada sesebuah komputer peribadi.

Contoh lain adalah persamaan kimia (chemical equation) yang hendak ditonjolkan perlu di cipta di aplikasi lain sebelum dimuatkan di facebook. Ianya kurang mesra kerana perlu ditukarkan ke aplikasi lain dan perlu dimuatnaik ke talian facebook. Antara muka yang sesuai untuk proses pengajaran dan pembelajaran adalah mewujudkan kumpulan-kumpulan yang telah tersedia dalam facebook. Seperti contoh kumpulan yang dicipta untuk kursus dan juga matapelajaran yang dipelajari seperti, kumpulan Sains Bahan, kumpulan Sains Nuklear, kumpulan Sains Laut dan sebagainya. Kumpulan yang diwujudkan dengan nama yang tidak formal dan bebas bagi ahli kumpulan untuk menambah ahli dalam kumpulan tersebut. Pengwujudan kumpulan ini sangat baik untuk pengkongsian ilmu dan proses pembelajaran.

Tetapi keburukan akan timbul kerana apabila wujudkan kumpulan ini pada mulanya membincangkan tentang pelajaran lama-kelamaan berubah menjadi kumpulan untuk berborak dan membuang masa. Bahayanya pengwujudan kumpulan ini perlu dibendung dan dipantau oleh guru atau fasilitator untuk sesebuah kumpulan untuk pelajaran.

Salah satu keburukan facebook dalam proses pembelajaran adalah maklumat yang dikongsi adalah kurang dipercayai kerana bergantung kepada sumber yang kurang sahih. Ini kerana pengguna facebook mengambil maklumat terus daripada enjin carian seperti google, bing, yahoo dan sebagainya. Kebanyakan maklumat yang dipaparkan didalam enjin carian tersebut adalah kurang diyakini kesahihan maklumatnya. Seperti contoh laman web Wikipedia memberi banyak maklumat berguna kepada kita tetapi kesahihan laman sesawang tersebut boleh disangkal kerana maklumatnya boleh diubah oleh pengguna lain. Jikalau maklumat daripada laman sesawang dibandingkan dengan buku yang ditulis kesahihan buku lebih baik kerana ianya ada penulis dan disahkan oleh badan-badan tertentu sebelum diterbitkan.

Walaupun carian daripada internet tiada sempadan dan tiada had tetapi kesahihan maklumat yang didapati adalah kurang tepat. Pelajar sekarang juga malas untuk ke perpusatakaan untuk menjacri sumber rujukan dan meminjam buku. Oleh hal yang demikian, mereka menggunakan enjin carian untuk berkongsi ilmu didalam facebook. Setiap orang member pandangan dan hujah didalam facebook yang kesahihannya belum tentu di akui. Oleh itu, maklumat yang kurang tepat dikongsi oleh pengguna facebook yang lain.

Walaupun facebook mempunyai ruangan untuk perbualan (chat) untuk individu dan dalam kalangan kumpulan juga tetapi ianya tidak mesra pengguna kerana mempunyai rungan yang kecil dan menyukarkan pengguna untuk berbincang dan proses pembelajaran dan pengajaran juga akan terganggu. Walaupun ianya mempunyai perbualan untuk ke window lain ( pop-out chat) tetapi ianya akan melambatkan proses pembelajaran dan pengajaran. Facebook juga mempunyai pelbagai aplikasi dan juga permainan di alam maya seperti Cityville, Farmville Texas Hold Em Poker, Mafia Wars dan sebagainya. Hal ini sangat membimbangkan kerana ia akan menyebabkan sifat kelalaian kepada pengguna facebook dalam kalangan pelajar.

Selain memberi kebaikan, penggunaan facebook juga boleh menyebabkan ketagihan kepada penggunanya. Ini kerana setiap aplikasi dan permainan yang disediakan memerlukan pengguna perlu mengakses facebook setiap masa. Seperti contoh permainan Farmville yang memerlukan setiap pengguna permainan itu untuk menanam dan mengutip hasil tanaman pada tempoh waktu yang singkat dan memerlukan pengguna menghabiskan masa di depan komputer peribadi. Permainan berunsur perjudian juga menjadi kegilaan pada remaja sekarang tidak mengira lelaki atau perempuan. Mereka sanggup untuk bersengkang mata untuk bermain permaianan ini. Ini sangat membimbangkan kerana apabila pelajar bersengkang mata untuk bermain permainan di alam maya mereka akan mengantuk untuk ke kuliah dan sebagainya. Oleh itu, salah satu penyebab pelajar ponteng adalah kerana salah guna facebook.

Pengguna facebook secara ratanya mengakses facebook dan berada di talian selama sejam sehari. Rata-rata pengguna facebook adalah remaja dan boleh dikatakan semuanya mempunyai akaun facebook dan menghabiskan waktu mereka didepan komputer peribadi. Kesan daripada ini adalah mereka telah mengurangkan masa untuk mengulangkaji pelajaran.

Kelemahan facebook untuk proses pengajaran dan pembelajaran adalah untuk mengakses ke akaun facebook ianya memerlukan capaian internet. Oleh itu, pengguna perlu mendapatkan capaian internet untuk berhubung dan berbincang tentang pelajaran. Kepada pengguna yang berada dikawasan yang terpencil dan juga tidak mendapat capaian internet ini akan menyebabkan mereka ketinggalan daripada apa yang dibincangkan oleh kumpulan untuk pelajaran mereka.

Kepada pengguna ataupun pelajar yang ingin mendapatkan capaian internet mereka perlu ke kafe siber untuk melayari internet dan juga mengakses facebook. Ini juga akan menyebabkan kesukaran kepada pelajar untuk ke kafe siber jikalau perbincangan di lakukan pada sebelah malam. Kepada pengguna yang tidak mempunyai akses internet di rumah ini akan membebankan mereka kerana mereka perlu ke kafe siber dan memerlukan kos untuk menggunakan perkhidmatan di kafe siber.

Akaun facebook adalah untuk kegunaan persendirian dan kumpulan tertentu. Maklumat yang penting tentang pelajaran yang telah dimuatnaik kedalam akaun facebook kemungkinan hilang dan digodam oleh pengguna lain.Keburukannya adalah akaun facebook kebanyakan senang di godam oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Ini kerana kelalaian pengguna itu sendiri ataupun niat jahat pengguna lain. Akaun facebook boleh digodam dengan pelbagai cara iaitu menggunakan spam, phishing, keylogger dan sebagainya. Ia amatlah mudah digodam apabila seseorang hanya klik pada link atau alamat website yang diberikan oleh pengguna lain dan secara automatiknya ia akan digodam oleh pihak lain untuk kepentingan sendiri dan juga untuk kejahatan.

Polisi persendirian pengguna juga tidak dititik beratkan kerana maklumat persendirian pengguna senang untuk digodam kerana pada masa sekarang ramai yang ingin menggodam akaun facebook kerana ingin mencapai kepuasan diri dan hasad dengki. Oleh itu, akaun facebook juga dianggap tidak selamat untuk menyimpan maklumat rahsia dan sulit seperti soalan peperiksaan, gred markah dan sebagainya. Apabila sesebuah akaun digodam, penggodam akan mengguna akaun tersebut untuk kepentingan diri dan ini akan merosakkan nama baik pengguna itu sendiri.

Kebaikan Facebook

Facebook merupakan tempat dimana ramai pengguna. Facebook juga ialah revolusi jaringan sosial yang terbaik setakat ini. Jika dibandingkan dengan laman sosial lain seperti Twitter, Myspace, Friendster, Tagged dan sebagainya, Facebook lebih mesra pengguna. Ini boleh dibuktikan dengan jumlah penggunanya yang sangat ramai. Dengan Facebook, kita dapati pengguna Facebook terdiri daripada pelbagai julat usia yang berlainan. Tidak kira tua atau muda, hampir semua orang di dunia dan khususnya di Malaysia yang ada prasarana internet mempunyai akaun Facebook mereka sendiri.

Jika kita lihat Myspace, penggunanya terdiri dikalangan umur 12 hingga 30-an sahaja, kerana sasaran pengguna mereka cenderung kepada pengguna yang lebih muda. Pengguna Facebook boleh menambah kenalan ataupun memadam kenalan yang mereka tidak kenal. Jadi boleh dinyatakan disini bahawa Facebook merupakan platform untuk mencari kenalan baru ataupun merapatkan pertalian dengan kenalan yang jauh. Di halaman utama Facebook juga menyatakan, Facebook membantu untuk menghubungkan dan berkongsi dengan orang di dalam hidup kita. Tagline itu sahaja sudah cukup untuk mencerminkan mengapa Facebook mempunyai jaringan pengguna yang luas.

Di Facebook, terdapat pelbagai aplikasi untuk melaksanakan sesuatu perkara. Sebagai contoh, aplikasi instant message yang membolehkan pengguna berbincang mengenai sesuatu perkara dengan cepat. Jika terdapat tugasan yang melibatkan kumpulan, perjumpaan dengan ahli kumpulan sangat digalakkan, tetapi tidak salah jika kita berbincang di dalam Facebook. Hal ini kerana kita boleh mencatat maklumat terus ke dalam komputer kita dengan mudah. Contoh aplikasi lain ialah Notes. Notes ini jarang digunakan oleh pengguna, tetapi ianya sangat bagus sekiranya kita ingin memaparkan maklumat dengan jumlah yang banyak. Pengguna yang lain boleh terus merujuk ke nota tersebut. Notes ini juga boleh digunakan sebagai micro-blog dimana kita menulis tentang apa-apa sahaja yang kita rasakan sesuai berbanding menulis di dinding halaman Facebook kita.

Facebook boleh juga dianggap sebagai portal sumber yang berkaitan dengan pelbagai perkara. Perkara-perkara ini termasuklah seperti sukan, hal ehwal semasa, politik, hiburan, keagamaan dan pelbagai lagi. Setiap perkara yang dinyatakan di atas boleh diakses melalui Facebook dengan mencari sesuatu halaman bagi perkara yang berkaitan. Sebagai contoh yang mudah, katakan anda seorang yang meminati sukan bola sepak dan dalam masa yang sama meminati pasukan Manchester United, anda boleh mencari halaman rasmi bagi pasukan Manchester United. Selepas itu, apa yang anda perlu lakukan hanya menekan butang Like dan secara tidak langsung anda boleh mengetahui berita terkini tentang Manchester United yang akan dipaparkan di bahagian suapan berita.Perkara ini boleh digunapakai untuk semua benda yang kita mahukan. Sumber-sumber ini merupakan sumber yang terkini dan juga global. Pelbagai perkara boleh didapati di Facebook, jadi gunalah kreativiti anda untuk mencarinya.

Link ini juga salah satu daripada aplikasi yang terdapat didalam Facebook. Pensyarah yang mengajar boleh memuat naik apa-apa sahaja yang perkaitan pengajaran dan pembelajaran. Link ini tidak terhad kepada nota kuliah mahu pun muat turun tugasan, tetapi ia juga boleh dalam pelbagai bentuk seperti contoh pensyarah boleh memberi link buku-buku yang tidak terdapat di perpustakaan bagi tujuan rujukan, video eksperimen, gambar-gambar dan pelbagai lagi. Dalam erti kata lain, pensyarah secara tidak langsung berinteraksi tentang pengajaran dan pembelajaran dalam medium yang berbeza.

Dengan cara ini, kedua-dua pihak yang terbabit akan mendapat banyak faedah dan manfaat dari banyak aspek. Data-data pengajaran dan pembelajaran tidak semestinya berkaitan dengan subjek, tetapi link yang boleh membantu peningkatan moral seperti video motivasi dan cara-cara belajar juga boleh dikatakan baik kerana ianya membantu pelajar untuk memantapkan emosi, minda dan fizikal seseorang pelajar.

Seperti yang kita tahu, Facebook sangat mudah digunakan dan dikendalikan berbanding laman web sosial yang lain. Hal ini boleh dibuktikan dengan variasi usia pengguna Facebook sendiri. Ada kanak-kanak yang berumur 6 tahun sudah boleh menggunakan Facebook dengan cekap. Di Facebook sendiri terdapat help center atau pusat bantuan dimana pengguna boleh bertanya soalan terus kepada help center ini. Pengguna lain yang cekap akan menjawab pertanyaan anda dengan hanya perlu meninggalkan komen di help center tersebut. Disini juga terdapat cadangan dan topik-topik popular berkenaan masalah pengendalian Facebook. Pengguna-pengguna baru boleh mendapat maklumat yang diingini dengan cepat dan tepat.

Terdapat laman web sosial yang lain seperti Twitter memerlukan pemahaman dan penggunanya terdiri daripada mereka yang cekap. Hal ini kerana Twitter lebih advance daripada Facebook. Oleh sebab itu, pengguna yang lebih muda sangat kurang di Twitter berbanding Facebook di dalam konteks negara Malaysia ini sendiri. Facebook menawarkan pelbagai jenis aplikasi dengan penggunaan yang lebih mudah dan senang dikendalikan berbanding laman web sosial lain. Jadi tidak hairanlah Facebook mendapat tempat ke 2 di dalam Alexa Ranking of Top 500 Visited Sites.

Aplikasi Facebook

Facebook membolehkan penggunanya untuk berhubung dengan pihak-pihak tertentu. Ia menjadi faktor penting dalam membantu proses pembelajaran dan pengajaran. Pelajar atau guru tidak perlu untuk berjumpa secara bersemuka dalam menguruskan hal-hal seperti mendapatkan nasihat dan bertanyakan tempat serta waktu kelas ganti akan diadakan. Hal ini memberi banyak manfaat terutamanya kepada pihak guru atau pensyarah. Ia disebabkan golongan ini sering mempunyai masa yang terhad untuk berjumpa dengan pelajar-pelajar mereka.

Kekangan masa yang dimiliki oleh guru mungkin boleh menyebabkan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran menjadi rendah. Mana tidaknya, kekurangan masa guru menyebabkan para pelajar sukar untuk berjumpa dengan guru dalam mendapatkan khidmat nasihat daripada guru. Hal ini secara tidak langsung mampu menjadi salah satu faktor kepada kejatuhan kualiti proses pembelajaran dan pengajaran. Jadi, facebook boleh bertindak sebagai medium interaksi sesama guru, ibu-bapa, pelajar, dan pihak kementerian.

Kegunaan facebook juga ialah untuk memperoleh bantuan teknikal dan khidmat nasihat pakar. Facebook merupakan jaringan sosial yang menghubungkan seseorang dengan orang yang lain diseluruh pelusuk dunia. Secara tidak langsung, seseorang itu boleh mendapatkan khidmat nasihat dan tunjuk ajar daripada orang lain. Hal ini seperti berkongsi ilmu dengan orang lain melalui facebook. Setiap orang mempunyai pengetahuan tertentu yang mana mungkin tidak diketahui atau difahami oleh orang lain.

Perkongsian sesuatu ilmu dapat memperkembangkan lagi kemajuan ilmu dan pelajaran kepada diri seseorang. Contohnya, kita tidak faham cara penggunaan perisian Xampp untuk membuat sistem database. Jika kita tidak memahami perisian Xampp maka database yang akan dibentuk adalah kurang berfungsi. Jadi, kita boleh bertanyakan kepada orang lain yang mana lebih arif mengenai perisian Xampp untuk membantu kita. Hal ini memudahkan kita untuk mempelajari atau memahami dengan lebih mendalam tentang sesuatu perkara atau ilmu. Cara ini juga boleh membantu kita didalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Aplikasi facebook juga ialah untuk berkongsi dan bertukar pendapat atau sesuatu ilmu sesama penggunanya. Ia lebih kepada kaedah dialog yang mana setiap pengguna akan memberikan pendapat mereka kepada orang lain. Ia boleh dilakukan melalui penghantaran komen kita didalam facebook. Pendapat ini mungkin betul, mungkin salah. Bertukar pendapat antara satu sama lain adalah sama seperti debat. Setiap pihak akan cuba untuk mempertahankan isi atau pendapat mereka. Ia berlaku dengan pemberian hujah yang lengkap oleh setiap pihak untuk menyokong pendapat mereka.

Jadi, proses pertukaran pendapat melalui facebook akan menyebabkan proses perkongsian sesuatu ilmu atau perkara berlaku. Hal inilah yang membolehkan seseorang itu lebih memahami tentang sesuatu perkara. Secara tidak langsung, ia membantu proses pengajaran dan pembelajaran.

Setiap agensi atau institusi pendidikan kebiasaannya mempunyai halaman tersendiri di facebook. Hal ini disebabkan kebanyakan manusia mempunyai akaun facebook persendirian. Jadi, ia memudahkan agensi atau institusi pendidikan untuk berinteraksi dengan pengguna-pengguna program mereka. Pengguna boleh berkomunikasi dengan agensi pusat, swasta serta institusi pendidikan lain mengenai sesuatu program dan polisi yang di gunakan khususnya dalam menyelesaikan sesuatu masalah yang timbul. Hal ini boleh dilakukan dengan menghantar pertanyaan atau soalan kita di halaman agensi pusat tersebut melalui facebook.

Facebook akan mempamerkan soalan kita di halaman agensi pusat terbabit. Pihak agensi pusat tersebut akan membalas pertanyaan kita melalui facebook atau email. Cara ini lebih mudah jika dibandingkan dengan seseorang itu terpaksa membuat temu janji untuk berjumpa dengan agensi pusat yang terbabit. Selain itu, jika seseorang yang tinggal dikawasan pedalaman mungkin sukar untuk pergi ke agensi pusat terbabit yang semestinya terletak dikawasan bandar. Menghantar surat pula akan mengambil masa yang lama untuk pihak berkenaan membalas semula persoalan kita. Jadi, facebook dapat menjimatkan masa kita dan memudahkan proses pembelajaran dan pengajaran berlaku.

Facebook dilengkapi dengan khidmat pesanan ringkas yang boleh digunakan untuk menghantar atau menerima maklumat. Ia sangat penting didalam proses pembelajaran dan pengajaran. Kita boleh menghantar maklumat seperti video dan dokumen-dokumen tertentu melalui facebook. Ia berfungsi untuk memudahkan kita berkongsi fail kita dengan orang lain. Perkhidmatan ini memudahkan orang lain untuk melihat dan mendapatkan fail kita. Ia sangat berguna terutamanya kepada pensyarah yang ingin menghantar nota-nota kuliah kepada pelajarnya. Ia lebih mudah dan kosnya adalah rendah. Jika nota terpaksa di cetak keluar dan diberi kepada pelajar, ia mungkin menggunakan kos yang tinggi. Lebih-lebih lagi jika pensyarah tersebut mempunyai jumlah pelajar yang ramai. Jadi, khidmat pesanan ringkas sangat membantu didalam prosese pembelajaran dan pengajaran.

Facebook membolehkan seseorang melakukan proses kemaskini sesuatu maklumat didalam akaun mereka. Proses kemaskini berfungsi untuk memastikan maklumat adalah tepat dan sesuai dengan sesuatu masa. Hal ini membolehkan pengguna facebook lain mendapat maklumat yang tepat setelah memperoleh maklumat tersebut. Maklumat yang tepat membolehkan pengguna bertindak betul mengikut maklumat yang diperoleh. Maklumat yang dikemaskini juga mampu memudahkan pengguna untuk melakukan urusan-urusan lain.

Maklumat yang boleh dikemaskini memberi faedah kepada proses pembelajaran dan pengajaran. Contohnya, pensyarah boleh menyampaikan maklumat terbaru mengenai pertukaran tarikh dan tempat perkuliahan melalui facebook. Selain itu, nota baru yang ingin ditambah oleh seseorang pensyarah mampu dilakukan didalam facebook. Apabila seseorang pensyarah tersebut mengemaskini maklumat yang ingin dihantar kepada pelajarnya, secara automatik maklumat baru tersebut akan muncul didalam akaun facebook setiap pelajarnya. Maklumat tersebut akan muncul di news feed. Jadi, maklumat mampu dikemaskini didalam facebook dan sangat membantu didalam proses pembelajaran dan pengajaran.


Pengenalan

Dunia kini berkembang dengan sangat cepat, termasuk didalam perkembangan internet. Perkembangan internet meningkatkan populariti perkhidmatan web jaringan sosial. Terdapat banyak perkhidmatan web jaringan sosial didunia ini. Namun, Facebook merupakan web jaringan sosial yang paling diminati oleh kebanyakan pengguna. Facebook Inc merupakan pihak yang mengendalikan secara persendirian tapak web rangkaian sosial iaitu Facebook. Bermulanya pada tahun 2006, sesiapa sahaja yang berumur 13 tahun ke atas dan mempunyai alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook.

Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh mencari dan menambah rakan serta saling menghantar mesej, dan mengemaskini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan. Selain itu, pengguna juga boleh menyertai dan mengambil bahagian dalam rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada nama yang digunakan bagi buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di Amerika Syarikat. Hal ini bertujuan untuk membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-temannya yang mana mengambil kursus sains komputer yang sama dengannya. Antara rakan-rakannya yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan Facebook Eduardo Saverin,Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada awalnya, penggunaan tapak web Facebook terhad kepada penuntut Universiti Harvard sahaja, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook terus berkembang untuk digunakan oleh mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web rangkaian sosial ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif diseluruh dunia.

Penggunaan Facebook banyak membantu didalam proses pembelajaran dan pengajaran. Facebook sangat sesuai untuk dijadikan sebagai medium pembelajaran dan pengajaran pada masa kini. Hal ini disebabkan kebanyakan pelajar pada hari ini mempunyai akaun Facebook persendirian. Secara tidak langsung, ia memudahkan proses komunikasi didalam pembelajaran dan pengajaran.